
My Yellow Book bukti kegigihan Norhaizan kembangkan ilmu tingkat pencapaian pelajar di luar bandar MUTIARA jika terjatuh ke dalam lumpur sekalipun tidak akan hilang kilauannya. Berpegang kepada bidalan ini, Norhaizan Mahussin, 47, menganggap ada tugas mencabar menantinya apabila beliau ditempatkan mengajar di pedalaman Pahang selepas tamat pengajian di Maktab Perguruan Perempuan Melaka pada 1980. Beliau memulakan tugas pertama di Sekolah Kebangsaan LKTP Jenderak Utara dan kemudian ditukarkan ke Sekolah Kebangsaan Kuala Mai, Pahang. Kebetulan suaminya Abdul Razak Ismail, pegawai Felcra juga bertugas di Felcra Gong, Kuala Krau, Jerantut, Pahang, ketika itu. Beliau yang juga berasal dari kampung menyambut tawaran mengajar di pedalaman dengan tangan terbuka. Bagi Norhaizan, mengajar di luar bandar atau di bandar sama saja jika seseorang itu tahu tanggungjawabnya mendidik anak bangsa. �Tidak dinafikan mengajar di luar bandar lebih banyak cabarannya terutama jika kebanyakan pelajar di kalangan keluarga miskin yang tentunya mempunyai halangan menyediakan peralatan sekolah mencukupi. �Tetapi bagi saya cabaran itulah yang mendorong saya meningkatkan kreativiti dalam mendidik anak bangsa. Kesedaran itu memuncak apabila saya sendiri menjadi ibu kepada lima anak yang kini berjaya dalam pelajaran hasil didikan di rumah,� katanya. Sebagai guru yang bertanggungjawab meningkatkan pencapaian bahasa Inggeris, Norhaizan mempunyai wawasannya sendiri untuk mengubah persepsi kelemahan bahasa itu di luar bandar. Untuk tujuan itu beliau menjadikan anaknya sebagai eksperimen untuk menghasil satu pembelajaran yang berkesan bagi mendapat kelulusan terbaik dalam mata pelajaran itu. Daripada usahanya lahirkan sebuah nota ringkas yang dinamakan �My Way� yang lebih berbentuk kamus bahasa Inggeris dengan menyediakan contoh membuat ayat ringkas menggunakan tata bahasa betul dalam bahasa Inggeris. Ketika itu beliau mengajar di Sekolah Kebangsaan Sungai Buluh, Kuala Berang, Hulu Terengganu. Kejayaan semua anaknya mendapat A dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris menguatkan azamnya memperlengkapkan kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris di sekolah rendah dan daripada kegigihan itu terhasillah �My Yellow Book�. Beliau mengambil masa tiga tahun untuk menyiapkan buku yang sentiasa diubah suai dalam mencari kaedah terbaik, mudah untuk menarik minat pelajar mempelajari Bahasa Inggeris. Buku yang dijilidnya diedarkan kepada kenalan yang berminat dan dijual dengan harga RM7.50 sebuah. Hasilnya amat membanggakan apabila sekolah yang mengguna pakai �My Yellow Book� menunjukkan peningkatan yang baik dalam pencapaian Bahasa Inggeris, malah ada sekolah di daerah Hulu Terengganu memecah rekod semua A Bahasa Inggeris dalam UPSR. Norhaizan berkata, sejak tiga tahun lalu, hampir 100 sekolah di pedalaman Hulu Terengganu, Paka dan beberapa sekolah di Maran dan Jengka, Pahang mengguna pakai kaedah pembelajaran Bahasa Inggeris daripada My Yellow Book. �Saya begitu gembira apabila mendapat tindak balas baik daripada guru-guru yang berjaya mencipta sejarah di sekolah masing-masing. Kejayaan mereka satu kepuasan bagi saya. Saya tahu guru yang membeli buku saya membuat salinan untuk membolehkan pelajar mereka memiliki buku itu dengan bayaran murah. �Saya tak kisah asalkan matlamat saya memastikan bahasa Inggeris dapat dikuasai dengan baik oleh pelajar di luar bandar tercapai,� katanya. Bagi memantapkan isi kandungan My Yellow Book, beliau turut dibantu anak keduanya, Syafik Afendi, 23, sebagai pelukis grafik. Anaknya meminati bidang lukisan walaupun mengikuti pengajian perniagaan di Universiti Teknologi Mara (UiTM). Malah, beliau sendiri kini mengikuti pengajian di peringkat sarjana di UiTM, Dungun. Kegigihan Norhaizan tutu mendapat pujian Penyelia Bahasa Inggeris, JPN Terengganu, Cik Ros Chik Nik. Selepas 20 tahun bertugas di beberapa sekolah di Hulu Terengganu termasuk, SK Telaga, SK Payang Kayu dan SK Tapah, beliau kembali semula ke negeri kelahiran kerana mengikuti suami bertugas di Felcra Batu Sawar, Jengka, Pahang. Kepulangan beliau ke Pahang diibaratkan sirih pulang ke gagang. Norhaizan yang kini bertugas di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Jengka 13, tidak pernah menoleh ke belakang untuk meneruskan usaha murninya itu. Beliau kini bertugas sebagai Guru Penolong Kanan Kokurikulum dan juga merangkap Jurulatih Utama English Literature JPN, Pahang, melebarkan sayapnya membantu program homestay di Jengka 25 meningkatkan penggunaan bahasa Inggeris di kalangan penduduk kampung. Sambutan terhadap kelas bahasa Inggeris yang diadakan pada waktu malam juga mendapat sambutan baik. Beliau juga menganjurkan kelas tambahan kepada pelajar yang berminat di rumah. Tahun 2008 membuka peluang baru kepada Norhaizan apabila sebuah syarikat penerbitan bersetuju untuk menerbitkan My Yellow Book.
.jpg)
0 comments:
Post a Comment